Wednesday, March 25, 2009

Dauroh Keilmuan Sebelum Berda'wah (3-5 April)




Assalamu'alaikum wa rahmatullah wa barakatuh...

Anda semua dijemput menghadiri daurah 'Keilmuan Sebelum Berda'wah'.


Pendahuluan: Islam amat menitik-beratkan aspek keilmuan sebelum berda'wah. Tidak sedikit para pendakwah yang terbabas saat berda'wah, disebabkan ceteknya pengetahuan asas keislaman yang wajib diketahui setiap individu muslim apatah lagi pendakwah. Ramai yang menyangka da'wah itu dimulakan dengan dan semata-mata mengajak manusia berakhlak baik dan membanteras gejala sosial, ada yang mengajak ummah ini agar peduli kepada isu Palestin, ada yang berjuang ke arah tertegaknya kembali Khilafah Islamiyyah, namun apakah itu da'wah yang telah dipercontohkan Nabi SAW? Ya, kita akui, ya semua itu adalah salah satu elemen tarbiyyah dan matlamat dalam da'wah, namun buka itu prioriti, penumpuan dan permulaan da'wah yang telah dipercontohkan bukan sahaja Nabi kita Muhammad SAW, malah semua yang terdapat dalam rantaian Rasul yang telah diutuskan Allah SWT. Adapun da'wah para Rasul dimulakan dengan agenda tashfiyyah; yakni memurnikan aqidah keyakinan objek dakwah mereka. Jika kita teliti kembali Sirah al-Nabawiyyah, tidakkah pada zaman jahiliyyah telah sedia berlaku kerosakan sistem sosial dan akhlak yang begitu parah di tanah arab? Zina, pembunuhan anak, arak, pergaduhan puak-puak, syirik, dan lemahnya bangsa Arab dihimpit gergasi dunia; sehingga mereka tunduk, takut dan sujud kepada empayar Rom dan Parsi saat itu. Namun, Nabi Muhammad SAW tetap sahaja tidak memulakan da'wahnya dengan mengajak insan supaya berakhlak baik, peduli kepada nasib bangsa Arab yang lemah saat itu, menceritakan kerosakan bangsanya, tetapi, apa yang dimulakan Nabi SAW adalah da'wah tawheed! Para ulama' Islam pula bila berbicara tentang keilmuan dalam Islam, yang mereka maksudkan adalah ilmu Syar'ie, tanpa menafikan cabang-cabang keilmuan yang lain. Tak ramai yang menjelaskan konsep Tawheed Uluhiyyah dan Asma' wa Sifat sebagaimana yang difahami oleh para sahabah, -generasi yang mendapat tarbiyyah secara langsung dari Nabi SAW- dan generasi Salaf al-Soleh. Sehingga dalam sebuah hadits pemahaman yang benar -sebagaimana yang difahami Salaf al-Soleh- terhadap Tawheed Asma' wa Sifat menjadi kayu ukur keimanan seseorang. Namun sekali lagi, keilmuan inilah yang banyak diabaikan oleh para pendakwah. Maka dauroh ini dirangka bagi memberi masukan kepada para peserta akan ilmu-ilmu asas yang wajib diketahui oleh setiap individu muslim dan sebagai subjek bahan da'wah yang wajib disampaikan para pendakwah. Berikut merupakan butir-butir tentang program;


Tema: " Keilmuwan Sebelum Berda'wah "

Tarikh: 3-5 April 2009/ 7-9 Rabi' al-Akhir

Lokasi: Institut al-Qayyim (IQ), Mengkuang, Bukit Mertajam, Penang

Penyertaan: Terbuka kepada pelajar lelaki dan perempuan IPTA/S dan mereka yang berumur di bawah 30 tahun.

Pengisian:

1) Syarah Aqidah Shahihah -Aqidah yang Benar- [Ustadz Wan Nordin; Shahadah Kepujian (Univ. Islam Madinah) dalam bidang Bahasa Arab dan Tamadun Islam]

2)Konsep al-'Ubudiyyah & Syarat Penerimaan Amal [Ustadz Wan Nordin]

3)Manhaj Salaf al-Soleh; Dalam Berinteraksi dengan Dalil, Khilaf, dan Berda'wah [Ustadz Hisyam b. Mohd Radzi; B.A (Univ. Islam Madinah, M.A (USM) dalam bidang Pengajian Hadits]

4)Da'wah Salafiyyah; Based on the Methodology of Tashfiyyah & Tarbiyyah [Syaikh Abu Marwan al-Urduni (nama sebenar: Muhammad Sa'id bin Abu al-Rubi); sedang menyiapkan PhD (USM) dalam bidang Comp. Sc. dan pernah bertalaqqi menuntut ilmu dan mendampingi para ulama' besar di Arab Saudi]

Yuran Penyertaan:
RM 20 (Pelajar ada masalah kewangan namun bersemangat tinggi, boleh memohon bantuan penganjur, insha Allah)


Anjuran: GMT, USM (Induk, Penang)


Tarikh akhir pendaftaran adalah 1 April 2009 ini, sebarang pertanyaan dan untuk pendaftaran SMSkan nama beserta IPT anda kepada Abu Nashiruddin 019-5144029, dan Ummu Sofiyya 013-9604922. Penginapan adalah di IQ. Sila sebarkan mesej ini.

Tentatif:

Jumaat (3 April 2009)Perkara
08.30 pm Ketibaan Peserta
09.00 pm Makan dan Minum Malam
09.30 pm Sesi Ta'aruf dan Taklimat Program
11.00 pm Khidmat Diri dan Tidur

Sabtu (4 April 2009)Perkara
05.20 am Bangun & Persiapan Diri
05.40 am Qiyam al-Lail
06.10 am Solat Subuh Berjama'ah
06.30 am Tadzkirah
07.10 am Khidmat Diri
07.45 am Sarapan Pagi
08.15 am Solat Sunat Dhuha & Khidmat Diri
09.00 am Pengisian 1 [Syarah Aqidah Shahihah]
11.15 am Kudapan
11.30 am Slot Khas 1 [Tayangan video Sifat Solat Nabi]
12.30 pm Short Nap
01.10 pm Makan Tengahari
01.30 pm Solat Zuhur
02.15 pm Pengisian 2 [Konsep al-Ubudiyyah & Syarat Penerimaan Amal]
04.40 pm Solat 'Asar
05.00 pm Tadzkirah Ringkas
05.20 pm Slot Khas 2
06.30 pm Persiapan & Khidmat Diri
07.30 pm Solat Maghrib & Tadzkirah
08.15 pm Makan Malam
08.40 pm Solat 'Isya'
09.15 pm Pengisian 3 [Manhaj Salaf al-Soleh: Dalam Berinteraksi dengan Dalil, Khilaf, & Berda'wah]
11.30 pm Kudapan & Khidmat Diri
11.45 pm Tidur

Ahad (6 April 2009) Perkara
05.20 am Bangun & Persiapan Diri
05.40 am Qiyam al-Lail
06.10 am Solat Subuh
06.30 am Tadzkirah
07.00 am Riadhah
07.40 am Sarapan pagi & Khidmat Diri
08.30 am Solat Sunat Dhuha
09.00 am Pengisian 4 [Da'wah Salafiyyah: Based on the Methodology of Tasfiyyah & Tarbiyyah]
11.30 am Kudapan
11.45 am Slot Khas 3
12.45 am Short Nap
01.10 pm Makan Tengahari
01.30 pm Solat Zuhur
02.00 pm Resolusi
02.30 pm Bersurai

Thursday, March 19, 2009

What is Salafiyyah? (Part 3)

What is Salafiyyah? (Part 2)

What is Salafiyyah? (Part 1)

Wednesday, March 11, 2009

Maulid al-Rasul: Bukan Sekadar Perarakan


Oleh:
Abd Razak Muthalib
Sumber:
http://abdulrazak.com


Setiap kali tibanya Rabi’ al-awal, pastinya peristiwa agung kelahiran Muhammad saw akan menjadi ingatan di hati seorang mukmin. Peristiwa ini merupakan noktah permulaan dalam sejarah Islam. Di sinilah bermulanya sinar cahaya Islam yang memadam api-api jahiliyyah dan ianya terus bersinar menyinari seluruh alam hingga ke hari ini. Risalah yang dibawa oleh insan mulia ini merupakan risalah terakhir yang hanyasanya diakui dan dijamin oleh Allah swt akan kebenarannya. Maka beruntunglah sesiapa yang memilih untuk berada di bawah naungan cahayanya. Firman Allah swt yang bermaksud:

“Sesungguhnya hanyasanya agama yang benar di sisi Allah adalah Islam.” [Ali Imran: 19]

Tidak dapat dinafikan bahawa nikmat Islam yang dikecapi sekarang ini adalah hasil perjuangan gigih yang penuh cabaran dan ujian yang telah dilakukan oleh Rasulullah saw dan generasi terdahulu. Jasa besar oleh insan mulia ini tidak sepatutnya dilupakan begitu sahaja. Apatah lagi oleh mereka yang mengaku sebagai umat Muhammad saw. Maka pelbagai cara dilakukan dan diamalkan dalam usaha untuk menterjemahkan rasa cinta dan kasih kepada Rasulullah saw, terutamanya bersempena dengan bulan kelahiran Baginda ini. Tanggal 12 Rabi’ al-awal, pelbagai sambutan dan perayaan diadakan demi mengingati kembali tarikh kelahiran Nabi Muhammad saw. Di sesetengah dunia Islam, pada tanggal ini diadakan majlis secara besar-besaran, walau pun terdapat percanggahan pendapat di kalangan ulama' tentang tarikh yang tepat kelahiran Rasulullah saw. Yang mashur dan tersebar dikalangan umat Islam ialah pada 12 Rabi’ al-awal. Pendapat lain menyatakan bahawa tarikh yang tepat bagi kelahiran Rasulullah saw ialah pada 9 Rabi’ al-awal tahun gajah, hari Isnin dan bersamaan dengan 20 atau 22 April 571 Masihi. [Lihat: al-Mubarakfuri, Safiy al-Rahman, al-Rahiq al-Makhtum (al-Mansurah: Dar al-wafa’, cet. 2, 2000), hal. 71]

Namun begitu, perbezaan tarikh ini bukanlah menjadi persoalan utama. Apa yang penting ialah masing-masing telah berusaha untuk menunjukkan rasa cinta dan kasih kepada Rasulullah saw dan ianya diterjemahkan dengan cara mengadakan sambutan ini. Masing-masing melakukannya tidak dengan tujuan lain kecuali untuk tujuan kebaikan dan mendapat balasan daripada Allah swt.

Sesungguhnya tidak diragukan lagi bahawa perasaan kasih dan sayang kepada junjungan mulia Muhammad saw wujud di dalam sanubari setiap individu Muslim yang sempurna imannya. Namun, adakah ianya sama dengan perasaan kasih dan sayang seperti yang telah ditunjukkan oleh para sahabat baginda? Tidak syak lagi, para sahabat r.a adalah golongan yang paling mencintai dan menyayangi baginda s.a.w. Kecintaan dan kasih sayang mereka kepada Rasulullah s.a.w telah dibuktikan. Mereka sangggup berkorban apa sahaja demi mentaati Rasulullah. Senang dan duka dikongsi bersama. Dugaan dan rintangan diharungi semua. Harta benda menjadi infaq utama. Hatta nyawa menjadi galang gantinya, asalkan risalahnya dijaga dan terpelihara. Golongan inilah yang telah diberi pengiktirafan oleh Rasulullah s.a.w sebagai golongan yang terbaik. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

”Sebaik-baik manusia adalah yang berada di kurunku (para sahabat), kemudian yang menyusuli mereka (para tabiin), kemudian yang menyusuli mereka (tabi’ al-tabiin)”
.[Riwayat al-Bukhari, hadis no. 2652]

Golongan yang paling mengasihi dan menyayangi Rasulullah s.a.w ini juga telah menunjukkan contoh teladan, bagaimana mereka menterjemahkan kasih sayang mereka itu, sama ada ketika hayat Rasulullah s.a.w mahu pun setelah baginda wafat. Justeru, adalah menjadi tugas kita untuk menyemak kembali adakah amalan yang kita lakukan sekarang ini dengan tujuan menzahirkan kecintaan kepada Rasulullah s.a.w sama seperti yang telah ditunjukkan oleh para sahabat baginda? Sekiranya ia bertepatan, maka teruskanlah dan sebarkanlah. Tetapi jika sebaliknya, maka adalah lebih baik dan utama untuk diberhentikan. Jadikanlah para sahabat baginda ini sebagai golongan teladan. Ianya akan pasti membawa kita ke jalan kebenaran.

Justeru, persoalan yang terpampang di hadapan kita ialah; adakah cukup untuk kita membuktikan kecintaan kepada Rasulullah s.a.w hanya dengan melakukan perarakan sempena Maulid al-Rasul? Atau ia hanya sekadar untuk memenuhi takwim kalendar tahunan? Atau untuk menunjukkan adanya perlaksanaan ajaran Islam? Atau untuk menghabiskan peruntukan kewangan tahunan? Atau sebagai salah satu faktor kemajuan pelancongan? Atau untuk mendapatkan sokongan dan pujian? Jika semua persoalan ini jawapannya ialah “tidak”, maka apa yang perlu kita buktikan? Apa yang perlu kita buktikan ialah apa yang telah dibuktikan oleh para sahabat dan generasi salaf al-soleh terdahulu. Kecintaan mereka kepada baginda s.a.w dibuktikan dengan mengikuti dan mengamalkan sunnah baginda. Kita yakin dan percaya bahawa kecintaan mereka kepada Rasulullah s.a.w adalah jauh lebih tinggi daripada kita, walaupun mereka tidak pernah meraikan hari kelahiran baginda s.a.w ini.

Cinta dan ikuti (al-mahabbah wa al-ittiba’)


Dua perkara asas yang mesti diberi perhatian di dalam membicarakan hubungan Muslim terhadap Rasulullah s.a.w adalah al-mahabbah (cinta) dan al-ittiba’ (ikut). Kedua-dua elemen ini mesti wujud secara beriringan di dalam diri seorang Muslim. Tidak cukup untuk seseorang menyatakan perasaan cintanya terhadap Rasulullah s.a.w tanpa mengikuti sunnah baginda. Begitu juga sebaliknya jika seseorang itu mengikuti ajarannya tanpa ada perasaan kasih dan sayang kepada baginda.

Sejarah Islam telah membuktikan wujudnya dua golongan ini

Pertama: Abu Talib, bapa saudara Rasulullah s.a.w, adalah antara manusia yang paling mencintai Muhammad s.a.w. Abu Talib pernah memelihara baginda setelah kematian ibu bapanya. Dialah juga antara peribadi penting yang telah mempertahankan Rasulullah s.a.w daripada ancaman kafir Quraish semasa menyebarkan dakwah di zaman permulaan Islam. Namun, sayang sekali, walau begitu tinggi kasih sayang Abu Talib kepada anak saudaranya, namun ianya tidak diiringi dengan mengikuti ajaran yang dibawa olehnya. Maka natijahnya, Abu Talib tetap termasuk di dalam golongan mereka yang tidak beriman.

Kedua: Abdullah bin Ubai bin Salul yang merupakan ketua golongan munafiq. Secara zahir, dia adalah pengikut Nabi Muhammad s.a.w. Namun, ikutannya ini tidak disertai dengan perasaan kasih dan sayang kepada baginda. Sebaliknya mempunyai muslihat jahat dalam menghancurkan dakwah Nabi Muhammad. Tindakan munafiq ini adalah natijah daripada tiadanya perasaan kasih sayang di dalam diri terhadap Rasulullah.

Justeru, al-mahabbah dan al-ittiba’ ini mesti digandingkan dan wujud selari demi memastikan kesempurnaan iman kita terhadap Rasulullah s.a.w.

Diriwayatkan daripada Anas bin Malik, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

"Tidak beriman dikalangan kamu sehinggalah aku lebih dicintainya melebihi ayahnya, anaknya dan manusia sekeliannya." [Riwayat al-Bukhari, Kitab al-Iman, Bab: Hub al-Rasul min al-Iman & Muslim, Kitab al-Iman, Bab: Wujub Mahabat al-Rasul]


Allah swt juga telah menetapkan bahawa taat dan ikuti Rasulullah s.a.w ini merupakan tanda taat dan patuh kepada-Nya, maka ia adalah lebih utama untuk membuktikan kecintaan kepada baginda s.a.w sendiri. Firman Allah swt bermaksud:

"Katakanlah (wahai Muhammad) Sekiranya kamu mencintai Allah, maka ikutlah aku, nescaya kamu akan dikasihi Allah dan Dia akan mengampunkan dosa-dosa kamu." [Ali Imran: 31]

Al-Imam Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat ini menyatakan bahawa:

"Ayat ini merupakan kayu ukur kepada sesiapa yang mendakwa mencintai Allah swt tetapi tidak berada di atas jalan Muhammad, bahawa sesungguhnya dia adalah dusta di dalam dakwaannya, sehinggalah dia mengikuti syariat Muhammad di dalam keseluruhan percakapan dan amalannya."

[Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-Azim (Damsyiq: Dar al-Fiha’, Cet. 2, 1998 ), 1/477]

Marilah kita bersama-sama muhasabah diri ini sejauh mana perasaan cinta dan kasih kepada Rasulullah s.a.w. Janganlah perasaan cinta kepada kebesaran dunia, kaum keluarga, harta benda, pangkat dan kedudukan mengatasi perasaan cinta kepada Allah dan Rasul-Nya. Seterusnya, cinta ini perlulah diiringi dengan menuruti jejak langkah baginda dan mengamalkan sunnah-sunnah yang telah ditinggalkan kepada kita. Semoga dengan perasaan cinta dan ikutan kita kepada Rasulullah s.a.w ini menjadi penolong untuk kita bersama-sama dengan baginda di syurga kelak. Amin.

Maulid: Antara Sejarah dan Amalan

Oleh: Dr Muhammad Asri bin Zainul Abidin
Sumber: http://drmaza.com


Para sarjana sejarahwan Islam berbeza pendapat tentang tarikh sebenar kelahiran Nabi s.a.w. Hadis Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh al-Imam Muslim hanya menyebut bahawa baginda lahir pada hari Isnin tanpa menyebut haribulannya. Sesiapa yang membaca karya-karya sejarah Islam yang besar seperti al-Bidayah wa al-Nihayah oleh al-Imam Ibn Kathir (meninggal 774H) akan melihat berbagai pendapat tentang haribulan dan bulan kelahiran baginda s.a.w.


Bagi yang berpendapat baginda lahir pada Bulan Rabi’ul Awwal, mereka berbeza pendapat pula dalam menentukan haribulannya. Ada yang menentukan pada 8 haribulan, ada yang pada 9 haribulan, ada pula pada 12 haribulan seperti yang menjadi anggapan ramai, ada juga pada 17 haribulan dan seumpamanya. Di samping di sana ada pula sarjana Islam yang menyatakan baginda lahir pada Bulan Ramadan dengan hujah-hujah mereka yang tersendiri.


Apa pun yang penting, sejarahwan Timur atau Barat, Utara atau Selatan tidak pernah berbelah pendapat tentang lahirnya seorang insan bernama Muhammad bin ‘Abdillah yang diikrarkan oleh umat Islam sebagai rasul terakhir yang diutuskan Allah. Hal ini berbeza dengan Jesus yang berada dalam gambaran Barat. Setengah ahli kajian mereka mempertikaikan tentang kelahiran Jesus itu sendiri.


Kelahiran Nabi s.a.w adalah peristiwa yang amat penting kerana ia peristiwa yang memulakan episod baru bagi kehidupan manusia sejagat. Penentuan haribulan atau bulan secara tepat bukanlah faktor utama. Tidak dapat menentukan tarikh lahir yang pasti, bukan bererti seseorang itu tidak wujud. Entah berapa ramai para nabi, tokoh, individu yang gagal dikesan tarikh kelahiran mereka, tetapi mereka wujud dan telah mewarnai sejarah.


Kegagalan sarjana untuk mengetahui hari dan bulan sebenar kelahiran Nabi s.a.w antaranya berpunca daripada tindakan para sahabah Nabi s.a.w yang tidak merayakan tarikh tersebut. Walaupun dalam sejarah Islam, merekalah generasi yang paling mencintai Nabi s.a.w namun mereka tidak membuat perayaan khas hari kelahiran baginda disebabkan kerana mereka tidak melihat baginda melakukan hal yang demikian.


Bahkan Ibn Kathir menceritakan bagaimana Saidina ‘Umar apabila dicadangkan permulaan tahun Islam dikira pada tahun kelahiran Nabi s.a.w, beliau menolaknya. Sebaliknya khalifah agung itu memilih tahun hijrah baginda sebagai permulaan kiraan. Bukan kelahiran tidak penting, tetapi hijrah adalah permulaan kejayaan dan sejarah perjuangan. Perkara yang paling utama buat seorang rasul ialah baginda diikuti, bukan sekadar dirayakan. Saban tahun orang Kristian Barat merayakan kelahiran Jesus, namun apakah kehidupan mereka sama seperti yang diajar oleh Jesus?


Hari berganti dan bertukar. Dunia Islam beralun dengan berbagai krisis politik yang akhirnya mencetuskan mazhab. Antaranya Mazhab Syiah yang asalnya merupakan mazhab politik, bertukar menjadi mazhab agama dengan segala macam aliran di dalamnya. Islam sepatutnya mencorakkan politik telah bertukar menjadi ‘politik mencorakkan Islam’. Lalu kefahaman agama dibina di atas blok-blok politik, bukan reka fikir politik itu diwarnakan oleh Islam. Maka perebutan kuasa berlaku atas agenda politik yang dimasukkan unsur Islam ke dalamnya. Maka berselerakanlah umat Islam akibat agenda politik berbagai aliran.


Di Mesir, Syiah Fatimiyyah pernah menguasai tampok kuasa. Berbagai agenda agama dilaksanakan dalam kerangka pemikiran mazhab politik yang bertukar menjadi agama. Berbagai perayaan agama dibuat dengan tujuan untuk mencapai matlamat politik yang tersendiri.


Dalam Fatawa al-Azhar diakui bahawa ahli sejarahwan Islam tidak mengetahui sesiapa pun yang memulakan perayaan Maulid Nabi s.a.w melainkan Kerajaan Syi’ah Fatimiyyah di Mesir yang mengadakannya secara besar-besaran. Mereka turut meraikan hari kelahiran tokoh-tokoh Ahlil Bait dan kelahiran Nabi Isa a.s. Kemudian pada tahun 488H dihentikan oleh Khalifah mereka al-Musta’la billah. Kemudian dihidupkan kembali oleh sesetengah kerajaan dan negeri. Demikianlah sejarahnya.


Ya, saya fikir, perasaan bersyukur mengenangkan sejarah kelahiran Nabi s.a.w dengan semangat untuk mengikuti baginda adalah wajar. Di samping kita perlu sedar fakta-fakta yang disebutkan tadi. Jika Bulan Rabi’ul Awwal ini dikatakan bulan kelahiran Nabi s.a.w, maka tidak salah untuk kita berceramah menceritakan sejarah perjuangan dan prinsip-prinsip Islam yang dibawa oleh baginda. Sama ada pada bulan ini atau selain. Sama seperti apabila kita melintas suatu tempat bersejarah, kita mengenang sejarah tersebut. Cuma janganlah kita ini menjadi manusia bermusim yang hanya mengenang rasul dan ajaran baginda pada hari-hari tertentu, tetapi kita seakan sudah tidak mengingati baginda selepas itu.


Di samping itu, hendaklah kita sedar, jika kita mengikuti Nabi s.a.w, maka pastikan kita tidak menokok tambah ajaran baginda apa yang baginda tidak izinkan. Baginda bersabda:

“Sesiapa yang membuat perkara baru dalam urusan kami ini (Islam) apa yang bukan daripadanya maka ia tertolak.” [Riwayat Muslim]

Oleh kerana baginda tidak pernah menunjukkan kita ibadah khas sempena kelahiran baginda samada solat khas, atau puasa khas atau bacaan khas, maka kita tidak boleh mengadakannya. Jalan yang patut diikuti dalam masalah ini adalah jalan para sahabah baginda s.a.w. Sabda baginda s.a.w:

“..Sesungguhnya Bani Israil berpecah kepada 72 puak, dan umatku akan berpecah kepada 73 puak. Kesemua mereka dalam neraka kecuali satu puak”. Mereka bertanya: “Apakah puak itu wahai RasululLah?” Jawab baginda: “Apa yang aku dan para sahabahku berada di atasnya”. [Riwayat al-Tirmizi dinilai sahih oleh al-Diya al-Maqdisi]

Perlu diingat, antara keistimewanya sejarah Nabi s.a.w kerana ia dapat dikenal pasti antara yang tulen dan tokok tambah. Ini berbeza dengan sejarah pengasas-pengasas agama dalam dunia ini yang hampir keseluruhan sejarah mereka dibina atas sangkaan atau perkhabaran yang tidak pasti. Ilmu hadis yang menapis sanad dan matan telah memelihara fakta sejarah nabi kita Muhammad s.a.w. Hanya sejarah yang pasti sahaja yang menjadi ikutan kita, bukan yang direka.


Kata al-Sayyid Sulaiman al-Nadwi:

“Sesungguhnya sirah yang berhak diikuti oleh manusia sebagai contoh yang baik dan teladan yang tinggi disyaratkan terlebih dahulu mestilah bersifat tarikhiyyah (sejarah). Adapun sirah yang tertegak diatas dongengan dan cerita-cerita khurafat yang tidak disokong oleh riwayat-riwayat yang dipercayai kesahihannya, adalah menjadi tabiat insan tidak akan terpengaruh dengan apa yag diceritakan kepadanya tentang sirah peribadi yang direka sedangkan sejarah tidak pernah mengenalinya.” [Sulaiman al-Nadwi, al-Risalah al-Muhammadiyyah, m.s. 41, Saudi: al-Dar al-Sa`udiyyah]

Buku Maulid al-Barzanji yang banyak dibaca dalam masyarakat kita ketika majlis kenduri-kendara atau selainnya mempunyai sumbangan yang tersendiri. Banyak sirah yang sahih dicatatkan oleh penulis karya tersebut iaitu Ja’far bin Hasan bin `Abd al-Karim al-Barzanji (meninggal 1187H). Namun satu hakikat yang diboleh dinafikan dari segi ilmu hadis bahawa terdapat fakta-fakta yang tidak sahih dalam buku al-Barzanji tersebut. Antaranya, beliau menyebut:

“Telah hadirlah pada malam kelahiran baginda (Nabi s.a.w.) Asiah (isteri Fir`aun yang beriman) dan Maryam (ibu Nabi Isa a.s.) dalam kumpulan wanita dari syurga)”.

Tiada satu riwayat yang sahih daripada Nabi s.a.w yang mengakui peristiwa seperti ini. Sehingga seorang pengkaji sejarah Muhammad Muhammad Hasan Syurrab menyebut:

“Wajib kita berhati-hati ketika memetik dari buku-buku sirah terutamanya buku-buku sirah yang terkemudian. Para rawinya (periwayat) banyak menokok tambah cerita dan sirah Rasulullah. Mereka mengaitkan kepada baginda mu’jizat dan perkara-perkara luar biasa sejak kelahiran sehingga kepada kewafatan baginda dengan perkara yang tidak ada sanad yang boleh dipegang. Seakan-akan para rawi ini melihat tujuan penambahan perkara-perkara luar biasa ini untuk memberikan kepada Rasul a.s. mu’jizat-mu’jizat yang tidak ada pada para nabi sebelum baginda." [Muhammad Muhammad Hasan Syurrab, Fi Usul Tarikh al-`Arab al-Islami, m.s. 84, Damsyik, Dar al-Qalam]

Kita semua bersyukur dan bergembira dengan kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. Namun kita wajib pastikan cara kita ikut dan faham mengenai baginda. Saban tahun banyak pihak yang meraikan maulid, apakah umat Islam bertambah dekat dengan baginda?

Beza Antara Merebut Nama Allah dan Mempertahankan Akidah

Isu dalam artikel ini telah ditulis oleh Dr Mohd Asri Bin Zainul Abidin setahun yang lalu. Dicadangkan untuk pembacaan.


Banyak pihak mendesak saya memberikan pandangan tentang penggunaan nama Allah oleh agama lain khususnya agama Kristian di Malaysia ini. Pada awalnya, saya selalu mengelak, cuma memberikan pandangan ringkas dengan berkata: “Isu ini bukan isu nas Islam, ianya lebih bersifat pentadbiran atau tempatan."


Peraturan ini mungkin atas alasan-alasan setempat seperti kenapa sekarang baru ditimbulkan isu ini? Kenapa hanya Bible dalam bahasa melayu sahaja yang hendak menggunakan panggilan Allah, tidak pula edisi inggerisnya? Adakah di sana ada agenda tersembunyi? Maka wujudnya tanda soal dan beberapa prasangka yang mungkin ada asasnya. Maka lahirlah kebimbangan terhadap kesan yang bakal timbul dari isu itu nanti.


Namun, akhir-akhir ini saya terus didesak. Saya kata: jika anda hendak tahu pendirian Islam bukanlah dengan falsafah-falsafah tentang akar bahasa itu dan ini yang diutamakan. Rujuk terdahulu apa kata al-Quran dan al-Sunnah. Lepas itu kita bincang hukum berkenaan bertitik tolak dari kedua sumber tersebut.


Kadang-kala kesilapan kita dalam mempertahankan perkara yang tidak begitu penting, boleh melupakan kita kepada isu yang lebih penting. Isu yang terpenting bagi saya adalah kefahaman mengenai keadilan dan kerahmatan Islam yang mesti sampai kepada setiap rakyat negara ini, muslim atau bukan muslim. Supaya gambaran negatif yang salah terhadap Islam dapat dikikis dari minda mereka yang keliru.


Di samping itu, hendaklah kita jelas bahawa yang membezakan akidah Islam dan selainnya bukanlah pada sebutan, atau rebutan nama Allah, sebaliknya pada ketulusan tauhid dan penafian segala unsur syirik. Di samping, kita mesti bertanya diri kita: mengapakah kita sentiasa merasakan kita akan menjadi pihak yang tewas jika orang lain memanggil tuhan Allah? Mengapakah kita tidak merasakan itu akan lebih memudahkan kita menyampaikan kepada mereka tentang akidah Islam?. Maka, apakah isu ini bertitik tolak dari nas-nas Islam, atau kebimbangan disebabkan kelemahan diri umat Islam itu sendiri?


Jika kita membaca Al-Quran, kita dapati ia menceritakan golongan musyrikin yang menentang Nabi Muhammad s.a.w juga menyebut nama Allah, dan al-Quran tidak membantah mereka, bahkan itu dijadikan landasan untuk memasukkan akidah Islam yang sebenar.


Firman Allah: (maksudnya) “Dan Demi sesungguhnya! jika engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka: “Siapakah yang menciptakan mereka?” sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah!”. (jika demikian) maka bagaimana mereka rela dipesongkan? Dan (Dia lah Tuhan Yang mengetahui rayuan Nabi Muhammad) yang berkata: Wahai Tuhanku! Sesungguhnya mereka ini adalah satu kaum yang tidak mahu beriman!” [Surah al-Zukhruf ayat 87-88]


Firman Allah dalam ayat yang lain: (maksudnya) “Dan sesungguhnya jika engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: “siapakah yang menurunkan hujan dari langit, lalu dia hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya?” sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah”. Ucapkanlah (Wahai Muhammad): “Alhamdulillah” (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian), bahkan kebanyakan mereka tidak menggunakan akal (untuk memahami tauhid)." [Surah al-Ankabut ayat 63]


Ayat-ayat ini, bahkan ada beberapa yang lain lagi menunjukkan al-Quran tidak membantahkan golongan bukan muslim menyebut Allah sebagai Pencipta Yang Maha Agung. Bahkan Nabi Muhammad s.a.w disuruh untuk mengucapkan kesyukuran kerana mereka mengakui Allah. Apa yang dibantah dalam ayat-ayat ini bukanlah sebutan nama Allah yang mereka lafazkan, sebaliknya ketidak tulusan tauhid yang menyebabkan akidah terhadap Allah itu dipesongkan atau bercampur syirik.


Justeru, soal bukan muslim mengakui Allah tidak dibantah oleh Islam, bahkan kita disuruh bersyukur kerana pengakuan itu. Cuma yang dibantah ialah kesyirikan mereka. Umpamanya, jika kita mendengar bukan muslim menyebut “Allah yang menurunkan hujan, atau menumbuhkan tumbuhan”, maka kita tentu gembira kerana dia mengakui kebesaran Allah.


Apakah patut kita kata kepadanya: awak jangan kata Allah yang menurunkan hujan, atau mencipta itu dan ini, awak tidak boleh kata demikian kerana awak bukan muslim, sebaliknya awak kena kata tokong awak yang menurun hujan”. Apakah ini tindakan yang betul? Tidakkah itu menjauhkan dia dari daerah ketuhanan yang sebenar? Kita sepatutnya berusaha mendekatkan dia kepada ajaran yang benar. Namun, jika dia berkata: “Tokong ini adalah Allah”. Saya kata: “Awak dusta, itu tidak benar! Maha suci Allah dari dakwaan awak”.


Maka, ketika Allah menceritakan peranan peperangan dalam mempertahankan keamanan dan kesejahteraan manusia,


Allah menyebut: (maksudnya) “..dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang (pencerobohan) setengah yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani), dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak dalam semua tempat itu dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong ugamanya (ugama Islam); Sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Perkasa." [Surah al-Hajj ayat 40]


Ayat ini mengakui tempat-tempat ibadah itu disebut nama Allah. Adapun berhubung dengan orang Kristian,


Allah menyebut: (maksudnya) “Sesungguhnya telah kafirlah mereka yang berkata: “Bahawasanya Allah ialah salah satu dari yang tiga (triniti)”. padahal tiada tuhan (yang berhak disembah) melainkan Tuhan Yang Maha Esa." [Surah al-Maidah ayat 73].


Ayat ini tidak membantah mereka menyebut Allah, tetapi yang dibantah adalah dakwaan bahawa Allah adalah satu dari yang tiga.


Justeru itu kita lihat, orang-orang Kristian Arab memang memakai perkataan Allah dalam Bible mereka, juga buku-buku doa mereka. Tiada siapa pun di kalangan para ulama kaum muslimin sejak dahulu yang membantahnya. Jika ada bantahan di Malaysia, saya fikir ini mungkin atas alasan-alasan setempat yang saya sebutkan pada awal tadi. Cuma yang diharapkan, janganlah bantahan itu akhirnya memandulkan dakwah Islam dan menjadikan orang salah faham terhadap agama suci ini.


Saya selalu bertanya sehingga bilakah kita di Malaysia ini akan begitu defensive, tidak memiliki antibodi dan tidak mahu berusaha menguatkannya dalam diri? Akhirnya, kita terus bimbang dan takut kepada setiap yang melintas. Padahal itu bukan sifat Islam. Islam agama yang ke hadapan, misi dan intinya sentiasa disebarkan.


Sehingga Allah menyebut: (maksudnya):“Dan jika seseorang dari kalangan musyrikin meminta perlindungan kepadamu, maka berilah perlindungan kepadanya sehingga dia sempat mendengar keterangan-keterangan Allah (tentang hakikat Islam itu), kemudian hantarlah dia ke tempat yang selamat. Demikian itu (perintah tersebut) ialah kerana mereka itu kaum yang tidak mengetahui (hakikat Islam)." [Surah al-Taubah ayat 6]


Ada orang tertentu yang berkata kepada saya: nanti orang Islam keliru kerana sebutan nama Allah itu sama antara mereka dan Islam. Lalu rosak akidah orang Islam kita nanti. Saya berkata kepadanya: “Jikalaulah sebutan nama tuhan itulah yang menentukan akidah Islam, tentulah golongan musyrikin Mekah tidak memerlukan akidah yang dibawa oleh Nabi s.a.w. Mereka telah sekian lama memanggil tuhan dengan panggilan Allah."


Lihatlah bapa Nabi kita Muhammad bernama ‘Abdullah yang bermaksud hamba Allah. Tentu sekali bapa baginda lahir pada zaman jahiliah sebelum kemunculan baginda sebagai rasul. Nama itu dipilih oleh datuk Abdul Muttalib yang menjadi pemimpin Quraish pada zaman dahulu. Quraish pada zaman jahiliah juga bertawaf dengan menyebut: LabbaikalLahhumma yang bermaksud: Menyahut seruanMu ya Allah!


Al-Imam Muslim dalam sahihnya meriwayatkan hadis mengenai perjanjian Hudaibiah antara Nabi s.a.w dengan Quraish Mekah, seperti berikut:


“Sesungguhnya Quraish membuat perjanjian damai dengan Nabi s.a.w. Antara wakil Quraish ialah Suhail bin ‘Amr. Sabda Nabi s.a.w : barangkali aku boleh tulis Bismillahirrahmanirrahim. Kata Suhail: Adapun Bismillah (dengan nama Allah), maka kami tidak tahu apa itu Bismillahirrahmanirrahim. Maka tulislah apa yang kami tahu iaitu BismikalLahumma (dengan namaMu Ya Allah!)”. Dalam riwayat al-Bukhari, Nabi s.a.w menerima bantahan tersebut. Ternyata mereka menggunakan nama Allah.


Maka yang membezakan akidah Islam dan selainnya adalah tauhid yang tulus yang menentang segala unsur syirik. Ketidak jelasan dalam persoalan inilah yang menggugat akidah jenerasi kita. Mereka yang berakidah dengan akidah Islam sangat sensitif kepada sebarang unsur syirik agar tidak menyentuh akidahnya. Bukan semua yang mengakui Allah akan dianggap beriman dengan iman yang sah selagi dia tidak membersihkan diri dari segala unsur syirik.


Lihat, betapa ramai yang memakai serban dan jubah, berzikir sakan tetapi dalam masa yang sama menyembah kubur-kubur tok wali tertentu dengan cara menyeru dan merintih pemohonan darinya. Ini yang dilakukan oleh sesetengah tarekat yang sesat. Apa beza mereka ini dengan yang memanggil nama-nama berhala yang asalnya dari nama orang-orang saleh juga, yang mati pada zaman dahulu.


Firman Allah: (maksudnya) "Ingatlah! Untuk Allah agama yang suci bersih (dari segala rupa syirik). dan orang-orang musyrik yang mengambil selain dari Allah untuk menjadi pelindung (sambil berkata): “Kami tidak menyembah mereka melainkan supaya mereka mendekatkan kami kepada Allah sehampir-hampirnya. Sesungguhnya Allah akan menghukum antara mereka tentang apa yang mereka berselisihan padanya. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang-orang yang tetap berdusta (mengatakan Yang bukan-bukan), lagi sentiasa kufur (dengan melakukan syirik)." [Surah al-Zumar ayat 3]


Di Malaysia kita pun ada yang memakai gelaran agama menentang pengajaran tauhid rububiyyah, uluhiyyah, asma dan sifat. Mereka ini menyimpan agenda musuh-musuh dakwah. Padahal pengajaran tauhid yang sedemikianlah yang mampu menjadikan muslim memahami dengan mudah hakikat tauhid. Mampu membezakan antara; sekadar mempercayai kewujudan Allah dengan mentauhidkan Allah dalam zatNya, ibadah kepadaNya dan sifat-sifatNya.


Persoalan tauhid anti syirik ini begitu mudah dan ringkas untuk memahaminya. Nabi s.a.w telah menyebarkannya dengan begitu pantas dan mudah. Seorang badawi buta huruf yang datang berjumpa baginda mampu memahami hanya dalam beberapa sesi ringkas. Bahkan mampu pulang dan mengislamkan seluruh kaumnya dengan akidah yang teguh. Namun, di kalangan kita, pengajaran akidah yang dinamakan ilmu kalam begitu berfalsafah dan menyusahkan.


Bukan sahaja badwi, orang universiti pun susah nak faham. Sehingga seseorang bukan bertambah iman, tetapi bertambah serabut. Bertahun-tahun masih dalam kesamaran. Diajar Allah ada, lawannya tiada, dengar lawannya pekak, lihat lawannya buta...lalu ditokok tambah dengan falsafah-falsafah dan konsep-konsep yang menyusahkan. Padahal penganut agama lain juga menyatakan tuhan itu ada, melihat, tidak buta, mendengar, tidak pekak dan seterusnya. Apa bezanya jika sekadar memahami perkara tersebut cuma?


Maka anak-anak orang Islam kita gagal memahami hakikat tauhid anti-syirik yang sebenar. Padahal ianya begitu mudah semudah memahami kalimah-kalimah akidah dalam surah al-Ikhlas yang ringkas. Kata Dr Yusuf al-Qaradawi:


Tambahan pula, perbahasan ilmu kalam, sekalipun mendalam dan kepenatan akal untuk memahami dan menguasainya, ia bukannya akidah…Lebih daripada itu perbahasan ilmu kalam telah terpengaruh dengan pemikiran Yunan dan cara Yunan dalam menyelesaikan masalah akidah. Justeru itu imam-imam salaf mengutuk ilmu kalam dan ahlinya serta berkeras terhadap mereka.” [Al-Qaradawi, Thaqafah al-Da’iyah, m.s. 92 Beirut: Muassasah al-Risalat]


Dahulu kelemahan ini mungkin tidak dirasa, tetapi apabila kita hidup dalam dunia persaingan, kita mula menderitai kesannya.


Jika akidah generasi kita jelas, apakah mereka boleh keliru antara ajaran Islam dan Kristian? Adakah mereka tidak tahu beza antara ajaran yang menyebut tuhan bapa, tuhan anak dan ruhul qudus dengan akidah Islam yang anti-syirik, hanya disebabkan adanya sebutan Allah? Begitu jauh sekali perbezaan itu! Bagaimana mungkin sehingga mereka tidak dapat membezakan antara malam dan siang? Apakah juga nanti kita tidak membenarkan pihak lain menyebut nama nabi Ibrahim, Ishak, Ya’kub, Daud dan lain-lain kerana budak-budak kita akan keliru lagi. Akidah apakah yang mereka belajar selama ini di KAFA, JQAF dan berbagai lagi sehingga begitu corot. Kalau begitu, sama ada sukatan itu lemah, atau tenaga pengajarnya perlu dibetulkan.


Maka sebenarnya, isu ini adalah isu kelemahan kita umat Islam dalam memahami akidah yang sebenar. Generasi kita tidak mempunyai benteng akidah yang kukuh. Lalu kita semua bimbang mereka keliru dengan akidah orang lain. Untuk mengatasi masalah ini, kita cuba mengambil pendekatan undang-undang. Agar dengan halangan undang-undang, kelemahan akidah generasi kita dapat dipertahankan.


Persoalan yang patut kita fikirkan, sehingga bilakah kita akan mampu terus hidup hanya berbekalkan oksigen dari saluran undang-undang sehingga kita yang majoriti, dengan segala peruntukan yang ada; TV, radio, berbagai-bagai institusi dan agensi yang dilindungi, masih takut kepada gerakan minoriti? Di manakah kehebatan Islam yang selalu kita sebut dan ceritakan sejarah kegemilangannya? Atau sebenarnya, kita tidak memiliki Islam seperti hari ia diturunkan? Maka kempen Islam kita selalu tidak berkesan.


Bagi saya, bukan soal nama Allah itu yang terlalu perlu untuk direbut atau dijadikan agenda besar. Tetapi, gerakan membina semula akidah yang sejahtera dan memahamkan generasi kita wajah Islam yang sebenar agar mampu bersaing dan menghadapi cabaran zaman.


Sumber: http://drmaza.com/home/?p=566

Wednesday, March 4, 2009

Tarekat Yang Sesat Lagi Kufur


Oleh: Dr Mohd Asri bin Zainul Abidin


Tiada jalan untuk mendapatkan petunjuk Allah melainkan menerusi Islam. Tiada jalan memahami Islam melainkan memahami al-Quran dan as-Sunnah dengan kaedah-kaedahnya yang sahih. Malangnya masih ada di kalangan yang mendakwa diri mereka muslim lebih suka kepada tafsiran-tafsiran Islam yang tidak berteraskan kefahaman yang betul terhadap al-Quran dan as-Sunnah. Di kalangan mereka ada pula yang begitu berminat jika memiliki aliran atau tafsiran agama yang tersendiri dan menyimpang dari petunjuk al-Quran dan as-Sunnah. Antaranya dengan menyertai atau menganut ajaran sebahagian tarekat atau aliran kerohanian yang membuat beberapa tafsiran agama yang sangat bahaya pada penilaian aqidah Islamiyyah.


Golongan seperti ini menganggap diri, guru dan aliran yang mereka ikuti adalah istimewa dan mulia. Mereka bangga dengan tafsiran-tafsiran pelik yang menyimpang jauh dari jalan petunjuk yang sebenar. Mereka mendakwa mereka telah menemui ilmu kerohanian dan makrifat. Justeru itu, mereka tidak lagi bergantung kepada hukum zahir atau kepada syariat yang dipegang golongan zahir atau awam. Mereka mendakwa kononnya mereka adalah golongan batin atau hakikat yang mempunyai ilmu ladunni (ilmu secara langsung dari Allah), kasyaf (singkapan hijab) yang tidak lagi memerlukan lagi nas-nas al-Quran dan as-Sunnah.


Sebenarnya, tarekat atau aliran kesufian yang seperti ini sangat merbahaya kerana menatijahkan kerosakan aqidah dan tulisan ini akan cuba membahaskannya dengan ringkas.


Kepentingan Aqidah


Telebih dahulu hendaklah seseorang sedar bahawa persoalan `aqidah adalah teras kepada ad-din. Tanpa aqidah yang sahih iaitu yang berlandaskan al-Quran dan as-Sunnah maka seluruh amalan adalah sia-sia belaka, sekalipun nampak pada zahirnya hebat.


Firman Allah:

Maksudnya


"Sesiapa yang beramal dengan amalan yang solih samada lelaki atau perempuan dalam keadaan dia mukmin, mereka itu memasuki syurga dan mereka tidak dizalimi walaupun sedikit."


[Surah an-Nisa' :124]


Dalam ayat di atas Allah dengan jelas mensyaratkan seseorang yang ingin melakukan amal solih itu hendaklah mukmin iaitu beriman kepada Allah dalam ertikata iman yang sebenar dan pastinya tidak melakukan perkara-perkara yang merosakkannya. Dengan itu sesiapa yang akidahnya rosak maka amalannya sama sekali tidak diterima walaupun kelihatan banyak dan hebat. Ini kerana setiap amalan dalam Islam dibina di atas asas aqidah.


Iktikad Yang Merosakkan


Iktikad yang ada pada sebahagian golongan tarekat yang menganggap bahawa sesiapa yang sudah sampai kepada peringkat tertentu dalam amalan atau tarekat yang mereka ikuti maka dia tidak lagi bergantung kepada syariat seperti tidak perlu lagi solat, puasa, jihad dan sebagainya. Mereka beranggapan kononnya yang perlu beramal ialah golongan awam sedangkan mereka adalah golongan khusus atau ahli hakikat atau makrifat.


Sebenarnya hendaklah diketahui bahawa fahaman ini termasuk dalam aliran kufur dan sesat yang telah lama dibahaskan dan ditentang oleh para ulama Ahl as-Sunnah wa al-Jama`ah. Mereka perlu jelas bahawa kesimpulan perbahasan berkenaan menyatakan kepercayaan atau pegangan tersebut boleh mengeluarkan mereka dari Iman dan Islam. Dalam kata lain ianya boleh membatalkan syahadah mereka dan menjadikan mereka kafir. Para ulama aqidah memasukkan kepercayaan seperti itu dalam senarai perkara kufur. Disebut dalam 'Taisir dhi al-Jalal wa al-Ikram bi Syarh Nawaqid al-Iman' seperti berikut: "Sesiapa yang beriktikad bahawa sebahagian manusia dibolehkan keluar dari syariat Muhammad s.a.w maka dia adalah kafir. Ini berdasarkan firman Allah:


(Maksudnya) "Sesiapa yang mencari selain Islam sebagai din (agama) maka sama sekali tidak diterima daripadanya dan dia di akhirat kelak termasuk daripada kalangan golongan yang rugi" (Surah Ali `Imran : 85)" [m.s. 97, Cetakan Dar Isybilia, Saudi]


Al-Imam Ibn Kathir dalam Tafsir al-Quran al-`Azim, menafsir ayat dalam Surah Ali `Imran di atas menyatakan: "Sesiapa yang melalui suatu cara yang lain dari apa yang disyariatkan Allah maka sama sekali ianya tidak diterima" [jld. 2, m.s. 378, Cetakan Dar al-Ma'rifah, Beirut]


Guru-guru ajaran sesat yang seperti ini biasanya akan mengemukakan kepada para pengikutnya yang jahil dalam memahami al-Quran dan as-Sunnah berbagai-bagi tafsiran palsu, bohong lagi menyesatkan. Para pengikut yang tidak begitu jelas kefahaman terhadap Islam akan menerima dan menganggap mereka memiliki hujah dan dalil yang kuat terhadap apa yang mereka percayai. Antara apa yang dihuraikan oleh golongan ini untuk menghalalkan tindakan mereka yang enggan mengikut syariat dan menganggap mereka telah sampai kepada suatu makam yang istimewa ialah:


Penyelewengan Huraian Maksud al-Yaqin


Mereka berhujjah dengan firman Allah dalam Surah al-Hijr ayat 99:


Maksudnya:


"Beribadatlah kepada tuhanmu sehingga datangnya kepadamu al-yaqin."


Dengan membuat tafsiran salah mereka menyatakan bahawa ayat ini bermaksud "beribadatlah kepada tuhanmu sehingga engkau memperolehi ilmu dan makrifat, setelah engkau telah memperolehinya maka gugurlah kewajipan `ibadat". Di sana ada lagi beberapa tafsiran lain yang mereka cipta bagi membolehkan mereka menganggap perkataan al-yaqin dalam ayat di atas adalah bermaksud makam sufi. Apabila mereka menganggap diri mereka telah memperolehinya maka tanggungjawab ibadat atau mengikut syariat sudah tidak diperlukan lagi kerana ayat tersebut menyatakan sehingga datangnya yakin maka apabila yakin yang ditafsirkan oleh mereka telah diperolehi maka syariat pun gugur.


Tafsiran Sebenar


Sebenarnya perkataan al-yaqin di dalam ayat di atas telah ditafsirkan oleh semua mufassirin yang muktabar sebagai al-maut iaitu kematian. Dengan ini ayat tersebut bermaksud: "Beribadatlah kepada tuhanmu sehingga datangnya kepadamu kematian"


Al-Qadi Abu Bakr Ibn al-`Arabi di dalam kitabnya yang masyhur iaitu Ahkam al-Quran menjelaskan maksud ayat ini: "Perkataan al-yaqin bermaksud al-maut (kematian), Allah memerintahnya agar terus menerus dalam ibadat selama-lamanya, iaitu sepanjang hayat." Seterusnya Al-Qadi Abu Bakr Ibn al-`Arabi mengemukakan alasan mengapakah perkataan al-yaqin di dalam ayat di atas ditafsirkan sebagai al-maut. Iaitu berdasarkan kepada hadith yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari, apabila Rasulullah menziarah jenazah Uthman bin Madh`un, baginda bersabda:


"Adapun dia telah datang kepadanya al-yaqin. Demi Allah aku mengharapkan untuk kebaikan..." [jld. 3, m.s. 116, Cetakan Dar al-Fikr, Beirut]


Daripada hadith riwayat al-Imam al-Bukhari (hadith ke-1243) yang dikemukan oleh al-Qadi Abu Bakr Ibn al-`Arabi dengan jelas menunjukkan Rasulullah s.a.w. mengucapkan kepada jenazah Uthman bin Madh`un yang telah meninggal, baginda menggunakan perkataan al-yaqin dengan dimaksudkan al-maut iaitu kematian. Dengan jelas sunnah atau hadith sendiri telah menafsirkan maksud ayat tersebut. Maka ini yang kukuh kerana tafsiran yang paling kuat terhadap sesuatu ayat al-Quran ialah samada di tafsirkan dengan ayat al-Quran yang lain atau dengan as-Sunnah. Setelah datangnya tafsiran yang (daripada Rasullullah) maka tidak boleh wujud lagi sebarang tafsiran ma'thuraqli yang menyanggah tafsiran Nabi s.a.w.


Daripada ucapan Nabi s.a.w. yang jelas itu maka ayat tersebut bermaksud setiap mukmin diwajibkan terus beribadat sehingga tibanya kematian. Justeru itu ternyata, ayat tersebut bukanlah hujah yang menyokong kesesatan golongan berkenaan sebalik ianya adalah dalil yang menentang pendapat mereka yang menyeleweng yang hanya menghadkan ibadat sehingga ke tahap tertentu sahaja.


Al-Imam Ibn Kathir dalam menafsir ayat daripada surah al-Hijr tersebut, menyebut alasan tambahan yang membuktikan kesesatan tafsiran golongan tarekat atau sufi tersebut, katanya:


"Sesungguhnya ibadat seperti solat dan seumpamanya adalah wajib bagi bagi setiap insan selagi akalnya masih berfungsi, maka hendaklah dia mengerjakan solat mengikut keadaannya. Ini seperti yang sabit di dalam Sahih al-Bukhari daripada `Imran bin Husoin r.a. sesungguhnya Rasulullah s.a.w. bersabda: "Solatlah dalam keadaan berdiri, jika tidak mampu maka dalam keadaan duduk dan jika tidak mampu maka di atas lambung". Berdalilkan ini menunjukkan kesalahan pendapat golongan mulhid yang berpendapat maksud al-yaqin ialah makrifat dan apabila telah seseorang di kalangan mereka telah memperoleh makrifat maka gugur daripadanya tuntutan agama. Ini adalah iktikad yang kufur, sesat dan jahil. Sesungguhnya para anbiya a.s. dan sahabah mereka adalah golongan yang paling mengetahui tentang Allah, paling mengenali tuntutan-tuntutanNya, sifat-sifatNya dan apa yang paling layak untuk mengagungkanNya, namun begitu mereka adalah golongan yang paling kuat dan banyak ibadat serta terus menerus melakukan amalan kebaikan sehingga menemui kematian. Dengan itu maksud al-yaqin di sini adalah al-Maut (kematian)." [jld. 2, m.s. 581]


Cuba lihat dalam petikan di atas al-Imam Ibn Kathir dengan jelas menghukum golongan ini sebagai mulhid (tidak percayakan agama), kafir, sesat dan jahil. Ini menunjukkan betapa bahayanya kepercayaan seperti ini terhadap aqidah dan wajibnya golongan ini ditentang.



Menyelewengkan Tafsiran Kisah Musa dan Khidir


Selain itu golongan ini juga beralasan dengan peristiwa Nabi Musa a.s. dan Khidir a.s. yang disebut di dalam al-Quran, di dalam Surah al-Kahf. Jika kita merujuk kepada Surah al-Kahf (ayat 60-82) Allah menceritakan pengembaraan Nabi Musa mencari Khidir a.s. bagi menuntut ilmu daripadanya. Semasa perjalanan Nabi Musa a.s. menemani Khidir a.s., baginda telah melihat beberapa tindakan Khidir a.s. yang menyanggahi syariat yang diturunkan kepadanya (Musa) lalu baginda membantahnya. Setelah tiga kali pertanyaan serta bantahan dibuat oleh Musa a.s. terhadap tiga tindakan yang dilakukan oleh Khidir, akhirnya Khidir pun tidak lagi membenarkan Musa a.s. mengikuti dan menceritakan rahsia segala tindakan-tindakannya yang dianggap oleh Nabi Musa a.s. sebagai kesalahan.


Dengan mempergunakan kisah dalam Surah al-Kahf berkenaan maka golongan sufi atau tarekat yang sesat beralasan bahawa para wali dibolehkan tidak mengikut syariat para nabi dan boleh melakukan segala tindakan yang dianggap salah oleh golongan zahir tetapi haikatnya betul di sisi ilmu hakikat atau ilmu ladunni. Ini kononnya sama seperti tindakan Khidir yang tidak mengikut Nabi Musa a.s. kerana Khidir adalah wali Allah dia menilai dengan ilmu ladunni yang terus menerus daripada Allah sedangkan Musa a.s adalah seorang nabi yang menilai dengan ilmu syariat semata. Justeru itu golongan hakikat tidak sama dengan golongan syariat dan golongan hakikat tidak perlu mengikut syariat seperti Khidir tidak perlu mengikut Musa.


Inilah dakwaan mereka yang sangat jahil bagi menilai apa yang terkandung di dalam lafaz-lafaz atau bentuk-bentuk ayat (siyaq al-Ayat) yang membawa maksud bagi sesuatu tafsiran yang benar. Golongan sufi yang menyeleweng dan tarekat yang sesat mempergunakan ayat 65 dari Surah al-Kahf yang menyebut:


(Maksudnya)


"Lalu mereka berdua (Musa dan Yusya' bin Nun) telah bertemu seorang hamba (Khidir) dari kalangan hamba-hamba Kami (Allah) yang telah Kami berikan kepadanya rahmat dari sisi Kami dan Kami berikan kepadanya ilmu dari sisi Kami."


Oleh kerana ayat itu menyebut min ladunna ilma (ilmu dari sisi Kami) maka muncul istilah ilmu ladunni. Dengan istilah ini ada golongan sufi dan tarekat yang sesat mengambil kesempatan untuk mengatakan mereka juga mempunyai ilmu ladunni seperti Khidir oleh itu mereka tidak terikat atau bergantung dengan syariat zahir.


Sebab itu seorang tokoh mufassir semasa iaitu Solah `Abd al-Fatah al-Khalidi dalam mengulas ayat ini dalam buku Ma`a Qasas as-Sabiqin Fi al-Quran beliau menyebut:


"Para penafsir golongan sufi telah berbicara dengan perkataan-perkataan yang pelik mengenai ilmu ladunni dan memisahkan antara hakikat dan syariat, yang zahir dan batin. Mereka telah mencampur aduk dan merosakkan dalam menafsirkan ayat-ayat ini dan juga selainnya." [jld. 2 m.s. 186. Cetakan Dar al-Qalam, Syiria]


Beliau juga menukilkan beberapa ulasan para ulama mengenai ayat ini, antaranya ulasan al-Imam as-Syinqiti di dalam tafsirnya, Adwa al-Bayan iaitu: "Sesungguhnya rahmat dan ilmu ladunni yang kedua-duanya Allah kurniakan kepada kepada Khidir bermaksud kenabian dan wahyu. Ini kerana Khidir berkata kepada Musa:


(Maksudnya)"Aku tidak melakukannya dengan kehendakku". (Surah al-Kahf: 82)


Perintah Allah tidak diketahui kecuali dengan jalan wahyu. Tiada jalan kepadanya melainkan wahyu. Allah telah menentukannya (pengetahuan mengenai perintahNya) hanya dengan jalan wahyu dengan firmannya dalam Surah al-Anbiya ayat 45:


(Maksudnya)"Katakanlah (Wahai Muhammad !) Aku hanya memberikan peringatan dengan wahyu". [ibid. m.s. 190]


Setelah menghimpunkan ulasan dan tafsiran para ulama mengenai ilmu ladunni yang diisyaratkan oleh al-Quran, Solah al-Khalidi membuat kesimpulan seperti berikut, katanya:


"Selepas melihat perkataan-perkataan daripada para ulama kita maka kita dapat membuat suatu keputusan yang putus iaitu: Ilmu ladunni yang diisyaratkan oleh ayat tersebut, yang telah Allah ajarkannya kepada Khidir a.s. sebenar ialah nubuwwah (kenabian) dan wahyu. Adapun pengakuan dan dakwaan golongan sufi mengenai ilmu ladunni menurut kefahaman mereka itu, adalah batil, sesat, menyanggahi syariat Islam dan petunjuk al-Quran. "[m.s. 92]


Ini bererti seluruh tindakan Khidir adalah wahyu daripada Allah. Khidir adalah nabi. Nabi Musa diutuskan kepada Bani Israil tidak diutuskan kepada Khidir. Khidir juga sebenarnya adalah Nabi yang menerima arahan langsung daripada Allah melalui jalan wahyu. Beliau tidak bergantung kepada syariat yang dikhususkan kepada Bani Israil. Justeru itu, segala tindakan Khidir adalah perintah Allah yang pasti melalui jalan wahyu dan tidak bergantung kepada ajaran Nabi Musa a.s. yang diutuskan untuk Bani Israil. Adapun Nabi Muhammad adalah utusan untuk sekelian manusia tanpa kecuali dan tidak ada yang terlepas dari berada di bawah lembayung ajarannya.


Al-Imam al-Allamah Ibn Abi al-`Izz dalam kitab aqidahnya iaitu Syarh al-`Aqidah at-Tahawiyyah dengan jelas menyebut persoalan ini dengan katanya:


"Adapun sesiapa yang berpegang dengan kisah Musa bersama Khidir a.s. bagi membolehkannya meninggalkan wahyu kerana bergantung dengan ilmu ladunni, seperti yang didakwa oleh yang tidak mendapat taufik, maka dia adalah mulhid (atheis) dan zindak (munafiq). Ini kerana Musa a.s. bukanlah Rasul yang diutuskan kepada Khidir. Khidir juga tidak diperintah untuk mengikutnya. Sebab itulah Khidir bertanya Musa:


"Apakah engkau Musa dari Bani Israil?" Jawab Musa: "Ya!"

(Riwayat al-Bukhari).


Adapun Muhammad adalah diutuskan untuk seluruh manusia dan jin. Sekiranya Musa dan `Isa masih hidup maka mereka mesti menjadi pengikutnya. Apabila `Isa turun ke bumi (pada akhir zaman) dia hanya akan berhukum dengan syariat Muhammad. Oleh itu sesiapa yang mendakwa bahawa kedudukan dia bersama Muhammad seperti Khidir bersama Musa atau membolehkan (mempercayai) ianya berlaku untuk sesiapa di kalangan umat maka hendaklah dia memperbaharui keislamannya, hendak dia kembali bersyahadah dengan syahadah yang benar kerana dia telah terkeluar dari Islam keseluruhannya. Sama sekali dia bukan dari kalangan wali-wali ar-Rahman sebaliknya dia adalah wali-wali syaitan". [m.s. 511, cetakan al-Maktab al-Islami, Beirut]


Lihatlah betapa jelasnya pendirian para ulama akidah terhadap golongan sufi dan tarekat yang seperti ini. Nyata sekali, sesiapa yang mendakwa perkara seperti ini terhadap dirinya atau orang lain seperti guru tarekat atau syeikhnya maka dia sama sekali adalah terkeluar daripada Islam. Di samping itu, sesiapa yang mendakwa dirinya seperti Khidir bererti dia mendakwa dirinya diberikan wahyu seperti Khidir atau dalam kata lain dia mendakwa diri menjadi nabi setelah datangnya penutup sekelian nabi. Ini adalah kekufuran di atas kekefuran.


Al-Imam al-Qurtubi yang merupakan tokoh mufassir besar. Beliau juga tidak lupa membahaskan persoalan ini dalam tafsirnya al-Jami' li Ahkam al-Quran. Beliau menukilkan ulasan gurunya al-Imam Abu al-`Abbas mengenai golongan ahli kebatinan yang dihukum sebagai zindiq iaitu katanya:


"Mereka itu berkata: "Hukum-hakam syarak yang umum adalah untuk para nabi dan orang awam adapun para wali dan golongan khusus tidak memerlukan nas-nas (agama) sebaliknya mereka hanya dituntut dengan apa yang terdapat dalam hati mereka. Mereka berhukum berdasarkan apa yang terlintas dalam fikiran mereka". Golongan ini juga berkata: "Ini disebabkan kesucian hati mereka dari kekotoran dan keteguhannya maka terjelmalah kepada mereka ilmu-ilmu ilahi, hakikat-hakikat ketuhanan, mereka mengikuti rahsia-rahsia alam mereka mengetahui hukum-hakam yang detil maka mereka tidak memerlukan hukam-hakam yang bersifat umum seperti yang berlaku kepada Khidir.


Mencukupi baginya (Khidir) ilmu-ilmu terserlah kepadanya dan tidak memerlukan apa yang ada pada kefahaman Musa". Golongan ini juga menyebut: "Mintalah fatwa dari hatimu sekalipun engkau telah diberikan fatwa oleh para penfatwa".


Seterus al-Qurtubi mengulas dakwaan-dakwaan ini dengan katanya:


"Kata guru kami r.a.: Ini adalah perkataan zindiq dan kufur dibunuh sesiapa yang mengucapkannya dan tidak diminta daripadanya taubat, kerana dia telah engkar apa yang diketahui dari syariat. Sesungguhnya Allah telah menetapkan jalanNya dan melaksanakan hikmahNya bahawa hukum hakamnya tidak diketahui melainkan melalui perantaraan rasul-rasul yang menjadi para utusan antara Allah dan makhlukNya. Meraka adalah penyampai risalah dan perkataanNya serta penghurai syariat dan hukum-hakam. Allah memilih mereka untuk itu dan mengkhususkan urusan ini hanya untuk mereka."


Dalam huraian tambahan al-Qurtubi menyebut lagi:


"Telah menjadi ijma' salaf dan khalaf bahawa tidak ada jalan mengetahui hukum-hakam Allah yang berhubung suruhan dan laranganNya walaupun sedikit, melainkan melalui para Rasul. Sesiapa yang berkata "Disana ada cara lain untuk mengetahui suruhan dan larangan Allah tanpa melalui para rasul atau tidak memerlukan para rasul maka dia adalah kafir, dihukum bunuh......" [jld. 11, m.s. 40-41, cetakan Dar al-Fikr, Beirut]


Demikian betapa tegasnya al-Imam al-Qurtubi dalam mengulas dakwaan sesat lagi kufur ini bagi membukti betapa bahayanya iktikad yang seperti ini. Bahkan kebanyakan para ulama Ahli as-Sunnah tidak lupa untuk memperingatkan perkara ini setiap kali mereka menyebut kisah Musa dan Khidir bagi memerangi golongan yang mempergunakan tafsiran yang salah lagi sesat ini untuk memperlihatkan keistimewaan diri dan akhir mereka tercerumus ke lembah kekufuran.


Umpamanya, lihatlah ulasan yang begitu jelas oleh Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah dalam Majmu' al-Fatawa dalam menentang kefahaman-kefahaman yang seperti ini. Demikianlah para ulama yang lain bagi setiap zaman. Maka golongan ilmuan yang wujud pada zaman ini juga perlu memerangi perkara yang seperti ini. Ini kerana aliran kepercayaan ini masih wujud dan mempengaruhi kalangan yang jahil dan mencari kesempatan untuk melepaskan diri dari agama. Jika mereka tidak ditentang habis-habisan maka akan hancur binaan Islam dan yang tinggal hanyalah Islam tanpa syariat.

Template by - Abdul Munir | Daya Earth Blogger Template