Monday, January 12, 2009

Isu Palestin: Qunut Nazilah atau Solat Hajat


Oleh: Mohd Yaakub bin Mohd Yunus
Sumber: http://akob73.blogspot.com

Keganasan dan kerakusan rejim zionis di bumi Palestin amat menyedihkan hati seluruh umat Islam di seluruh dunia. Sehingga artikel ini ditulis 875 orang rakyat Palestin termasuk kanak-kanak kecil telah terkorban manakala lebih daripada 3,000 orang lagi telah tercedera akibat dari serangan udara tentera Israel di Semenanjung Gaza. Entah mengapa agaknya penindasan terhadap rakyat Palestine seakan-akan tiada kesudahannya. Kita juga amat kesal dengan kebaculan pemimpin-pemimpin negara Arab yang gagal untuk bersatu tenaga bagi membantu umat Islam di Palestin memerangi tentera penceroboh Israel. Hal ini menyebabkan negara sekecil Israel boleh merampas tanah serta membunuh umat Islam di Palestin sesuka hati mereka di hadapan mata bangsa Arab tanpa mereka mampu untuk berbuat apa pun.

Dalam usaha untuk membantu umat Islam di Palestin maka ramai dikalangan umat Islam di Malaysia menyeru untuk dilaksanakan solat hajat secara berjemaah di masjid-masjid demi memohon keselamatan sauadara-saudara kita di sana. Hanya sahaja apa sepatutnya yang lebih utama untuk dilaksanakan ketika musibah dan bencana sedang melanda umat Islam adalah mengerjakan qunut nazilah dalam solat-solat fardu. Namun sunnah Rasulullah s.a.w. mengerjakan qunut nazilah ini jarang-jarang dikerjakan walaupun keadaan umat Islam di seluruh dunia begitu terhimpit dan sewajarnya kita mendoakan keselamatan untuk mereka menurut tatacara yang diajar oleh Baginda. Dalil disyariatkan qunut nazilah ini adalah sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abdullah ibnu Abbas r.a, dia berkata:


Rasulullah s.a.w. telah berqunut sebulan berturut-turut dalam solat Zuhur, Asar, Maghrib, Isyak dan Subuh iaitu dalam rakaat terakhir ketika iktidal sehabis mengucapkan ‘sami’allahuliman hamidah.’ Di situ baginda berdoa untuk kebinasaan Banu Sulaim, Ra’al, Dzakwan dan Ushaiyah, sedang makmum yang di belakangnya mengaminkan doa itu.” [Hadis riwayat Imam Abu Dawud dalam Sunannya. No: 1231]

Anas bin Malik pula telah berkata: “Rasulullah s.a.w. tidaklah pernah berdoa selepas bangun daripada rukuk kecuali untuk memohon kebaikan kepada orang ramai atau mengutuk sesetengah kaum itu.” [Hadis riwayat Ibnu Khuzaimah dalam Sahih Ibnu Khuzaimah dan juga diriwayatkan oleh al-Hafidz Ibnu Hajar dalam Bulughul Maram, no: 0242]

Mengerjakan qunut nazilah ketika terjadinya bencana dalam kaum Muslimin merupakan pegangan mazhab Syafi’i, Hanafi dan juga Hambali. Berkaitan dengan perlaksanaan qunut nazilah ini Syaikh al-Mubarakfury telah berkata: "Ini memang dikhususkan pada hari-hari genting dan ketika terjadinya peristiwa menakutkan atau bencana, kerana Nabi s.a.w. tidak pernah membaca qunut kecuali untuk mendoakan kebaikan bagi kaum muslimin atau memohonkan kebinasaan kaum kafir." [Dinukil dari kitab Taudhih al-Ahkam Min Bulughul Maram karangan Abdullah bin Abdurrahaman al-Bassam, jilid 2, ms. 236]

Syaikh Abu Ubaidah pula telah menegaskan: "Membaca doa qunut (nazilah) dalam keadaan-keadaan tertentu merupakan bantuan berupa doa kepada sesama umat Islam. Sedangkan mendoakan musuh kaum muslimin supaya hancur telah dicontohkan dari Rasulullah s.a.w. dengan cara berdoa (berqunut nazilah) ketika solat, tepatnya setelah membaca sami’allahu liman hamidah pada rakaat terakhir." [Syaikh Abu Ubaidah Mashur bin Hassan dalam kitab beliau Al-Qawl al-Mubiin fii Akhthaa’ al-Musholliin, ms. 136- 137]

Di antara lafaz-lafaz doa yang pernah Rasulullah s.a.w. ketika qunut nazilah adalah seperti berikut:

"Ya Allah, Selamatkan al-Walid bin al-Walid, Salamah bin Hisyam, Ayyash bin Abi Rabi’ah serta orang-orang beriman yang tertindas. Ya Allah. Timpakanlah kecelakaan daripada Mu kepada penduduk Mudhar, jadikanlah mereka atas mereka seperti tahun-tahun Yusuf (masa kemarau)." [Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Sahihnya no: 804]

"Ya Allah, Laknatlah fulan, fulan dan fulan." [Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Sahihnya no: 4559]

Untuk situasi sekarang ini maka di dalam lafaz doa qunut nazilah tersebut hendaklah kita mendoakan keselamatan bagi rakyat Palestin dan ditimpakan kecelakaan terhadap rejim Zionis dan penyokong-penyokong kekejaman mereka. Qunut nazilah ini dilaksanakan setelah mengucapkan ‘sami’allahuliman hamidah’ ketika bangun dari posisi rukuk. Hendaklah imam mengeraskan suaranya ketika berdoa dan makmun dibelakangnya mengaminkan doa tersebut.

Inilah sunnah Rasulullah s.a.w. ketika terjadinya musibah yang melanda kaum Muslimin. Tidak ada sebarang riwayat yang menunjukkan Rasulullah s.a.w. pernah menganjurkan solat hajat secara berjemaah dalam apa jua keadaan. Bahkan hadis-hadis tentang solat hajat itu sendiripun adalah berstatus lemah. Lazimnya, dalil yang digunakan untuk mensyari’atkan solat sunat hajat ini adalah hadis-hadis yang berikut.


Menurut Faaid bin Abdurrahman yang meriwayatkan daripada Abdullah bin Abi Aufa, Rasulullah s.a.w telah bersabda:

"Sesiapa yang mempunyai hajat kepada Allah atau kepada salah seorang bani Adam (manusia) hendaklah dia berwuduk serta membaguskan wuduknya kemudian solat dua rakaat. Terus (setelah selesai solat) hendaklah dia menyanjung Allah dan berselawat kepada Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam, kemudian dia mengucapkan doa……" [Menurut Abu ‘Isa ini adalah hadis Gharib dan dalam sanadnya terdapat Faaid bin ‘Abdurrahman yang dha’if (lemah) dalam hadis dan Faaid dia adalah Abu al-Waruqa’. Hadis riwayat Imam al-Tirmizi dalam Sunannya Kitab al-Sholaah, no: 441]


Gharib bermaksud yang asing, jauh, aneh atau susah difahami. Hadis gharib bermaksud hadis yang diriwayatkan dengan satu sanad atau hadis yang diriwayatkan oleh seorang perawi. Hadis gharib ini ada yang sahih, hasan dan juga dha’if (lemah). Namun begitu hadis yang diperbincangkan ini statusnya dha’if dan tidak boleh dijadikan sebagai dalil dalam menetapkan sesuatu hukum. Ini diindikasikan sendiri oleh Imam al-Tirmizi r.h ketika meriwayatkan hadis ini.

Hadis di atas ini berstatus dha’if jiddan (sangat lemah) kerana dalam sanadnya terdapat Faaid bin Abdurrahman Abu al-Waruqa’ dan beliau telah dilemahkan oleh ulama' hadis seperti Imam al-Tirmizi, Imam Abdullah bin Ahmad, Imam Ibn Ma’in, Imam Abu Daud, Imam al-Nasaai, Imam Abu Hatim, Imam al-Hakim, Imam Ibn Hibban dan Imam al-Bukhari. Oleh itu hadis di atas tidak boleh dijadikan dalil untuk mensyari’atkan solat Hajat.


Sebuah hadis berkaitan dengan solat hajat juga telah diriwayatkan oleh Imam Ahmad daripada Maimun Abu Muhammad al-Mura’i al-Tamimi. Dia berkata: Yahya bin Abi Kathir telah menceritakan daripada Yusuf bin Abdullah bin Salam daripada Abu Darda’ radhiallahu’ anh katanya:

"Wahai sekalian manusia! Aku telah mendengar Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Sesiapa berwuduk dan menyempurnakannya, kemudian mengerjakan solat dua rakaat dengan sempurna, apa sahaja yang dimintanya akan diberi oleh Allah baik cepat mahupun lambat." [Hadis riwayat Imam Ahmad dalam Musnadnya, no: 26225]


Hadis ini juga tidak sahih kerana dalam sanadnya terdapat seorang perawi, iaitu Maimun Abu Muhammad al-Mura’i. Beliau seorang yang majhul (tidak dikenali) sebagaimana yang telah dinyatakan oleh ulama' hadis seperti Imam Ibn Ma’in, Imam Ibn ‘Adiy, Imam al-Zahabi dan Syeikh Nashiruddin al-Albani. Sanad hadis ini juga munqati’ (terputus) kerana Yahya bin Abi Kathir yang merupakan seorang tabi’ al-tabi’in telah meriwayatkan secara terus daripada Yusuf bin Abdullah bin Salam. Sedangkan Yusuf merupakan seorang sahabat Nabi s.a.w. Al-Tabi’in adalah seseorang yang di dalam hidupnya sempat berjumpa dengan sahabat Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam Manakala tabi’ al-Tabi’in adalah seseorang yang sempat berjumpa seorang tabi’in. Di dalam hadis ini, seorang tabi’ al-Tabi’in telah meriwayatkan hadis secara terus daripada seorang sahabat Nabi s.a.w tanpa perantaraan daripada seorang tabi’in di dalam sanadnya. Oleh itu, hadis ini dikategorikan sebagai munqati’, iaitu terputus sanadnya.

Oleh itu marilah kita menyuburkan semula sunnah Nabi shalallahu 'alaihi wasallam yang semakin jarang-jarang diamalkan di Malaysia iaitu membaca qunut nazilah ketika terjadi apa jua bentuk musibah sama ada di dalam negeri mahupun di luar negeri. Semoga doa-doa kita itu dimakbulkan Allah s.w.t. dan dapat membantu meringankan beban saudara-saudara seagama kita serta menghancurkan musuh-musuh Islam.

1 comments:

rossees said...

terima kasih dengan perkongsian ini...

Zionis memang dah jelas memusuhi Islam, still wonder ada jugak orang kata Allah tak memusuhi zionis..hmm..

Robert (Yisrael) Aumann, seorang cendikiawan Amerika-Israel, telah menyatakan bahawa Israel mungkin tidak akan mampu untuk terus wujud dalam jangka masa yang panjang.

“Terlalu ramai Yahudi tidak faham mengapa mereka berada di sini. Jika kita tidak faham mengapa kita berada di sini, dan bahawa ini bukan Amerika atau suatu tempat untuk tinggal,kita tidak akan bertahan. Keinginan untuk hidup seperti bangsa-bangsa lain mungkin dapat bertahan untuk 50 tahun sahaja lagi, sekiranya kita masih berada di sini, ” kata pemenang Nobel Prize ekonomi tersebut sebagaimana dipetik oleh akhbar Haaretz pada 17 November 2006.

Inilah sebenarnya mengapa Israel sentiasa mendesak kepada negara-negara jiran untuk mengiktiraf kewujudannya sebagai klausa utama dalam perhubungan mereka.

http://haluanpalestin.haluan.org.my/?p=991

salam

Template by - Abdul Munir | Daya Earth Blogger Template