Tuesday, October 28, 2008

Al-Sunnah Tunggak: Sebuah Perjuangan



Oleh : Yussamir Yusof
Negeri Sembilan 13 Jun 2008
www.yussamir.com
http://tetasan.blogspot.com


Suara merdu bacaan ayat-ayat Quran Syeikh Masyari al-faasi dari telefon bimbit Pak Talib, menenangkan hati. Kelihatan Pak Talib bersandar di kerusi malas yang tersedia di ruang tamu rumah, sambil mengunyah sirih, bibirnya merah diwarnai cengkih. Rembau di bungkus sejuk malam. Bunyi cengkerik mengalun-alun membelah kesunyian malam di kampung lada. Cahaya bulan menyuluh terang tepat ke muka Razali, cucu kesayangan Pak Talib. Mak cik Munah sibuk mengemas barangan yang dibawa Rasyid dari Johor Bahru. Selalunya sebulan sekali baru cucunya itu pulang ke kampung. Tetapi tak disangka pula, baru seminggu datang ke kampung, Rasyid datang kembali. Mak cik Munah membancuh nescafe di dapur, untuk Pak Talib dan cucunya Rasyid.


Rasyid mendatangi Atuknya sambil membawa dua buah buku baru tulisannya.


Ini dua buah buku baru saya tuk.” Rasyid mengambil kerusi di depannya, kemudian didekatkan di sebelah kerusi malas datuknya. Pak Talib berhenti mengunyah. Dia bangun dari bersandar, dan mencapai bekas dan diludahnya sirih ke dalam bekas tersebut. Dilap-lap mulutnya dengan sapu tangan putih. Merah sapu tangan itu.


Engkau tahu kenapa nama engkau Rasyid?”
Buku yang dihulur oleh Rasyid tidak disambut oleh Pak Talib. Rasyid tidak terasa hati, dia meletakkan bukunya itu di lantai.


Tidak Tuk.”


Bapa engkau menyanjung tinggi perjuangan Rasyid Redha. Itu sebab dia letak nama engkau Rasyid. Bapa engkau pejuang Agama dan bangsa.” Pak Talib bangkit dari kerusi. Dia berjalan perlahan-lahan ke arah rak buku yang terletak tidak jauh dari tempat duduknya tadi. Rasyid mengekor dari belakang. Pak Talib membuka sebuah laci yang berkunci. Sebuah majalah lama yang bertulisan jawi di depan mukanya bertulis Al-Manar kelihatan. Pak Talib mengesat-ngesat habuk yang terlekat di majalah itu. Ada beberapa keping muka surat dari majalah tersebut terkeluar dari ikatan. Pak Talib membetul-betulkan kedudukan muka surat majalah itu yang sudah jungkang balik.


Al-Manar menagih perjuangan dan pengorbanan Rasyid. Bukan mudah Al-Manar mahu menembus wilayah dunia menyebar dakwah Islam. Sebelum Al-Manar, sebuah majalah islam bernama Al-Urwatul Wusqo sudah memayungi pemikiran umat islam ketika itu. Perancis menjadi saksi pengorbanan dan perjuangan dua Ulama bernama, Syeikh Muhammad Abduh dan Syeid Jamalludin al-Afghani. Setelah dibuang negeri oleh pemerintah Mesir ketika itu, kedua-dua ulama ini tidak berdiam diri. Majalah Al-Urwatul Wusqo diterbitkan di Perancis. Tahun 1884 menjadi tarikh keramat bagi seluruh umat islam. Angin-angin Islam bertiup ke segenap inci dan ceruk dunia.


Majalah ini terus menyelinap laju ke Makkah, Madinah, Iran, India, Indonesia, Singapura malahan di Tanah Melayu ketika itu.Tapi sayang seribu kali sayang Rasyid! Hasad dengki dan tamakkan harta dan pangkat memusnahkan segalanya
.” Serasa kehangatan kemarahan terpancar melalui riak-riak wajah Pak Talib. Namun nadanya tetap tenang, setenang air sungai pedas linggi yang mengalir sejuk dan tenang. Rasyid tekun mendengar setiap inci dan sudut perkataan yang keluar dari mulut datuknya itu. Kedatangan dia pada malam itu untuk mengadu dibatalkan. Malam itu dibiarkan dirinya diisi dengan untaian-untaian sejarah yang memangkin semangat dirinya.


Ini air nescafenya Rasyid. Ajak Atuk kamu minum sekali.” Arah Mak cik Munah pada Rasyid. Lepas menghidangkan minuman, Mak cik Munah terus berlalu ke dapur. Tidak kuasa dia melayan perbualan suaminya dengan cucunya itu. Di dapur, Mak cik Munah mengayak tepung yang dicampur dengan telur sebentar tadi dalam tempayan. Rasyid sukakan kuih Bahulu, Mak cik Munah mahu bakar bahulu untuk cucunya. Dahulu Rasyid mahu belikan mesin pengayak untuk neneknya. Tapi Mak cik Munah membantah. Katanya membazir sahaja. Lagipun, membuat bahulu secara tradisional lagi bagus dan mantap berbanding secara moden kata Mak cik Munah. Rasyid terus mengalah.


Di ruang tamu kelihatan Pak Talib dan Rasyid mencicip air nescafe panas. Ada sepinggan biskut di sisi cawan nescafe. Perlahan-lahan Rasyid mencicah biskut ke dalam air nescafenya. Pak Talib sekadar memerhatikan telatah cucunya itu.


“Kalau menulis buku, jangan sekadar menulis tetapi harus ada tujuannya.” Pak Talib menyambung perbualan tadi yang terputus. Rasyis mengangguk mengiyakan arahan datuknya itu.


Selepas Syeid Jamalludin Al-Afghani meninggal dunia. Majalah Al-Urwatul Wusqo diberhentikan penerbitannya. Tika itu, wadah penyampaian pemikiran yang berteraskan Quran dan Sunnah tidak dapat lagi diresap dan di mamah umat Islam. Mereka teraba-raba, yang masih teguh berdiri di atas landasan As-sunnah terus tegap berdiri. Tapi bagi mereka yang masih terketar-ketar dan mudah terpengaruh dengan dakyah selain As-sunah terus tergelincir. Tapi Alhamdulilah. Kemunculan Syeid Muhammad Rasyid Redha memberi sinar kepada kemalapan dunia islam ketika itu. Perjuangan Syeikh Muhammad Abduh dan Syeid Jamalludin al-Afghani diteruskan anak muda ini. Perjuangannya sama iaitu berdakwah melalui ketajaman mata pena. Tetapi isi dan pendekatannya lebih terarah dan lebih lengkap dari majalah Al-Urwatul Wusqo. Akhirnya muncul majalah bernama Al-Manar.” Pak Talib berhenti seketika. Dia mencicip kembali air nescafe yang tersisa. Kemudian di tambah semula oleh Rasyid ke dalamnya. Pak Talib membuka diarinya yang memang sentiasa bersamanya. Pak Talib menunjukkan sekeping gambar lama kepada Rasyid. Rasyid memanjangkan lehernya.


Siapa orang ini atuk?”


"Ini gambar moyang Atuk. Nama dia Syed Muhammad Al-Kalali."


Syed Muhammad Al-Kalali? Jadi keturunan kita keturunan Syed-la eh atuk?”


Memang benar. Tetapi selepas datuk atuk berkahwin dengan wanita yang bukan dari keturunan Syed, maka nasab syed itu tidak diturunkan ke atas generasi seterusnya."


Owh..” Rasyid menggaru-garukan kepala yang tidak gatal.


Dia pun ada menebitkan sebuah majalah. Al-imam nama majalah tersebut. Atuk tiada naskahnya. Kalau ada, pasti atuk tunjukkan pada engkau.” Pak Talib menutup kembali diarinya. Kemudian duduk bersandar.


Kandungan Al-Manar benar-benar memberi kejutan kepada masyarakat. Pandangan yang berbeza dari adat kebiasaan penduduk setempat, serta tidak selari dengan pandangan-pandangan ulama-ulama konservatif memberi impak besar kepada perubahan paradigma umat islam ketika itu. Syed Muhammad Rasyid Redha mendapat tentangan yang besar, begitu juga sokongan dari beberapa ulama-ulama yang sefahaman dengannya. Berpaksikan Al-Quran dan Sunnah serta membenteras bidaah dan kurafat adalah elemen utama dalam majalah Al-Manar. Umat Islam harus bersih dari kekotoran khurafat dan hal-hal yang tidak selari dengan syariat islam, itu hasrat Al-Manar.”


Jadinya sejarah pertentangan Kaum Tua dan Kaum muda yang pernah terjadi di Tanah Melayu ini ada sangkut paut dengan al-Manar?” Soal Rasyid.


Pak Talib sekadar tersenyum dengan pertanyaan cucunya itu. Baginya Rasyid harus tahu kesemua kebenaran yang disorok oleh orang-orang yang batil dengan kebenaran. Biar Rasyid menulis tentang As-sunnah, bukan sekadar novel dan buku-buku motivasi sahaja. Kalaupun mahu menulis buku-buku motivasi dan novel, semuanya harus diselitkan unsur-unsur agama yang bersendikan As-sunnah berteraskan kefahaman para salafus-soleh.


Pengaruh al-Manar bukan sahaja bertiup kenyang di Timur Tengah. Pengaruh itu sampai ke tanah Melayu. Majalah Al-Imam menjadi sekutu kepada Al-Manar di Singapura. Perjuangan dan pengorbanan serta ilmu-ilmu Syed Muhammad Rasyid Redha disalurkan kembali oleh Syeikh Muhammad Tahir Jalaluddin (1869-1956), Syeikh Muhammad Salim al-Kalali, Syed Syeikh al-Hadi (1867-1934), Syed Muhammad Aqil dan Haji Abbas Mohd Taha melalui al-Imam(1906-1908). Al-Imam menyalurkan fahaman baru menentang bidaah, khurafat yang bermaharajalela dikalangan orang-orang tempatan yang mengaku menyembah Allah. Singapura terkenal dengan kemasyuran al-Imam dan kealiman kelima-lima tokoh reformis ini. Angin iman al-Imam terus bertiup kencang di Indonesia. Ulama-ulama Indonesia turut terkesan dengan pengaruh yang dibawa oleh al-Imam,maka muncullah al-Munir sebuah majalah yang bersendikan Al-Urwatul Wusqo dan Al-Manar dan al-Imam. Tika itu, pengaruh kembali kepada As-sunnah dan membenteras hal-hal yang menyalahi As-sunnah hebat menyelubungi Tanah Melayu dan negara yang berkaitan.” Pak Talib berhenti bersuara. Dia pejamkan mata, keringat mula membasahi dahinya. Wajah tenangnya tetap terpancar dibalik kelam malam. Pak Talib terbayang wajah Syeikh Tahir Jalaludin, Dr. Burhanuddin al-Hilmi, Haji Abbas Taha dan Za’ba dan beberapa ulama’ yang dituduh sebagai golongan Kaum Muda oleh ulama-ulama konsevertif pada awal kemunculan mereka di tanah Melayu ketika itu.


Terlintas wajah Haji Noh Penambang , Haji Yaakub Legor (1892-1971) , Haji Osman Jalaluddin al-Kelantani antara ulama tua yang menentang pembaharuan yang dibawa ulama-ulama muda yang ditarbiah di Mesir ini. Terlintas juga kelibat-kelibat rakan-rakannya yang teguh berdiri dilandasan As-sunnah, seperti Karim Az-Zaidan yang memegang jawatan Mufti di Darul Sunnah, Yusuf Al-johori yang menjadi mudir di Madrasah Benut, Wahbah guru agama di sekolah agama rakyat kerajaan Melaka dan lain-lain. Mereka sudah tegar dihina dan dituduh sebagai pemecah belah masyarakat. Namun, realitinya masyarakat yang berada disisi mereka semua, aman dan harmoni di bawah rahmat dan rahim Allah. Kehidupan aman mengikut lunas-lunas agama tanpa ada sedikit penambahan, malahan mudah dipraktiskan umat Islam. Orang-orang bukan Islam yang berada disekitar mereka, turut terkesan dengan kemudahan dan kebahagian yang dibawa Islam. Malahan ada yang memeluk agama Islam dek kerana ajaran Islam tulin yang dibawa oleh mereka.


Dentuman guruh mengejutkan Pak Talib dari lamunan. Daerah Rembau bakal disiram hujan yang membawa rahmat Illahi. Mata Rasyid mula layu. Kantuk menyeranginya. Pak Talib memandang cucunya.


Esok kita sambung lagi. Engkau pun dah mengantuk, nanti tak masuk pula apa yang atuk nak sampaikan nanti. Pergilah tidur dulu.” Rasyid bingkas bangun,setelah bersalam dengan datuknya dia lantas berlalu ke arah bilik belakang. Mata Pak Talib mengekor Rasyid hingga hilang dari pandangannya. Rasyid harus tahu kebenaran, tekad Pak Talib. Pak Talib tidak mahu perjuangan ulama-ulama seperti Syeikh Muhammad Abduh, Syeikh Jamalludin al-Afghani, Syed Muhammad Rasyid Redha, Syeikh Tahir Jalaludin, dan yang seakatan dengannya pupus begitu sahaja. Harus ada pewarisnya dan penyambungnya. Umat Islam harus hidup beramalkan ajaran Islam yang tulen, yang bebas dari khurafat, bidaah dan hal-hal yang menyalahi akidah ahlus sunnah wal jamaah.


Rasyid harus menjadi pewaris perjuangan mengembalikan kehidupan kepada Quran dan Sunnah yang berteraskan kefahaman para sahabat, dan tabi’en. Dia harus mewarisi kekuatan Syed Muhammad Rasyid Redha, mewarisi kepintaran Hassan Al-Banna, mewarisi kesederhanaan al-Imam Yusuf Al-Qaradhawi, dan mewarisi kefakihan Syeikh Muhammad Salih Uthaimin.” Pak Talib bertekad keras.


_______________________________________________________
Artikel ini bakal dimuatkan dalam majalah insight.


*Yussamir Yusof adalah seorang pelajar jurusan Perakaunan di Universiti Multimedia, kampus Cyberjaya. Beliau diamanahkan sebagai Timbalan Presiden 1, Institusi Usrah kampus Cyberjaya bagi sessi 2008-2009.


Beliau boleh dihubungi melalui yussamiryusof [at] gmail [dot] com
atau di laman peribadinya www.yussamir.com dan http://tetasan.blogspot.com

0 comments:

Template by - Abdul Munir | Daya Earth Blogger Template