Thursday, October 9, 2008

Kenali Protaz Kapten Hafiz Firdaus


Dilahirkan di Kuala Lumpur pada tahun 1971, Hafiz Firdaus Abdullah merupakan salah seorang penulis serta penceramah kontemporari yang mendalami hadis dan ayat-ayat al-Quran serta mengkaji sirah para Nabi dan Sahabat bagi mengupas isu isu dan persoalan semasa. Penulisan beliau merupakan satu usaha membawa kembali pemahaman ilmu-ilmu Islam yang dipegang oleh masyarakat umum kepada pemahaman yang sahih, benar dan dengan hak.


Pendidikan


Memulakan pengajian di St. John's Institution, Bukit Nanas, Kuala Lumpur, beliau tidak pernah mendapat pendidikan formal di mana-mana sekolah agama atau institusi pengajian tinggi. Namun berdasarkan prinsip 'kalau tak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya', beliau mengikuti pelbagai bentuk kuliah agama serta mengkaji kitab-kitab muktabar yang ditulis oleh tokoh-tokoh ilmuwan Islam zaman silam dan juga semasa sehingga membolehkan beliau berkecimpung dalam arena penulisan ilmiah ini. Beliau juga gigih mempelajari bahasa Arab melalui guru guru agama dan rakan rakannya yang mahir berbahasa Arab bagi memaksimumkan kebolehannya membaca kitab-kitab agama. Sehingga kini, walaupun beliau tidak boleh bertutur tetapi beliau dapat membaca kitab-kitab berbahasa Arab dengan baik.

Kerjaya

Pada tahun 1989 beliau menyertai Penerbangan Malaysia (Malaysia Airlines) sebagai seorang juruterbang. Kerjaya ini telah memberikan kelebihan kepada usaha dan minat beliau kerana dengan keperluan beliau untuk terbang ke serata dunia telah memberi peluang untuk memahami agama dari perspektif yang lebih luas. Dengan memperhatikan kepelbagaian ragam umat Islam seluruh dunia beliau dapat menyaksikan adanya toleransi dalam berbagai-bagai perbezaan pendapat justeru menyebabkan beliau berfikiran lebih terbuka. Tidak berakhir di situ, beliau cuba
mengkaji apa pegangan dan dalil yang menjadi hujah mereka. Peluang ini bertambah menarik kerana beliau juga dapat dapat menimba ilmu daripada pelbagai tokoh dan sumber di serata dunia. Satu bonus juga kepada beliau kerana dengan kerjayanya beliau dapat membeli buku-buku ilmiah daripada serata dunia.

Penulisan dan laman web


Berpegang kepada konsep "Bukan siapa yang berkata tetapi apa yang dikatakan", Hafiz Firdaus mula menulis sejak tahun 1999. Manhaj beliau ialah mengkaji sesuatu topik daripada sumber khazanah ilmu tokoh-tokoh terdahulu lalu menyusun dan menyampaikannya dalam bentuk yang mudah lagi relevan dengan isu-isu terkini. Hafiz lebih cenderung menulis berkaitan dengan masyarakat dan perkara-perkara berkaitan pemahaman terhadap hadis kerana beliau merasakan penghayatan masyarakat Malaysia terhadap hadis masih berada di tahap yang minimum. Dalam menghasilkan buku beliau memastikan keseluruhan isi kandungan bukunya tepat tanpa terselit pandangan-pandangan yang mengelirukan, malah beliau sentiasa memastikan hadis-hadis yang dikemukakan disemak terlebih dahulu.

Hasil penulisan beliau bukan sahaja boleh didapati dalam bentuk buku tetapi juga dalam bentuk atas talian dengan terbentuknya laman web beliau: http://www.hafizfirdaus.com. Laman web ini adalah satu usaha dalam mempelbagaikan lagi medium dakwah yang tidak hanya tertumpu kepada lisan dan bahan bacaan bercetak. Laman web ini juga diadakan bagi memanfaatkan kelebihan dunia tanpa sempadan yang membenarkan aliran maklumat boleh diakses dengan lebih pantas tanpa mengira had masa dan tempat. Dengannya, sasaran pembaca juga semakin meluas dan tidak terhad kepada pengunjung di Malaysia tetapi juga di negara luar. Selain itu cara ini juga dapat mengembangkan lagi ilmu ini dan sekaligus berdakwah kerana pengunjung dapat membaca apa yang ditulis secara percuma.

Laman web ini tiada halaman 'forum' untuk berkomunikasi dua hala dengan pengunjung tetapi lebih memfokuskan kepada e-Buku iaitu pengunjung boleh membaca secara
online keseluruhan isi kandungan buku-buku hasil penulisan beliau tanpa perlu membelinya. Malahan pengunjung juga boleh memindah turun untuk membaca ketika di luar talian.

Beliau tidak pernah meminta royalti, oleh itu hak cipta adalah atas nama beliau dan boleh dipaparkan dalam laman web.
Beliau tiada masalah dengan penerbit Jahabersa kerana mereka juga lebih mementingkan penyampaian ilmu berbanding keuntungan. Bahkan beliau diberi keizinan untuk memaparkan kesemua buku-buku hasil karyanya untuk dimuatkan ke dalam laman web.

Soal jawab agama


Disebabkan masa yang terhad untuk sentiasa berada di hadapan komputer, beliau lebih selesa menggunakan emel sekiranya ada persoalan daripada masyarakat umum. Namun begitu cepat atau lambat jawapan itu bergantung kepada soalan yang diajukan. Jika soalan itu mudah dan sudah ada jawapannya, maka cepatlah soalan itu dibalas. Tetapi jika soalan itu agak susah, ia perlu mengambil masa untuk dibuat kajian terlebih dahulu dengan merujuk kepada al-Quran dan hadith ataupun orang yang pakar dalam bab tersebut.


Pesanan Hafiz Firdaus Abdullah

Mengkaji ilmu-ilmu agama, dengan ikhlas

“Masyarakat terutamanya golongan profesional disarankan agar jangan 'membodohkan diri” dalam bidang agama, sebaliknya mesti yakin dan ikhlas agar kita boleh menghayati agama dengan cara yang benar. Mungkin ramai yang beranggapan, bukannya mudah untuk mengkaji kitab-kitab muktabar itu seorang diri tanpa dipandu oleh guru. Tetapi yakinlah setiap orang boleh melakukannya jika dipandu oleh hati yang ikhlas dan mengharap petunjuk daripada Allah SWT. Sesiapa saja yang ingin mendalami agama, dia pasti boleh melakukannya asalkan niatnya ikhlas.

Jangan sekali-kali mendalami agama untuk tujuan lain seperti mendapat gelaran, sanjungan dan sebagainya, sebaliknya mestilah dengan niat untuk beramal dan berkongsi ilmu itu dengan orang lain. Insya-Allah kita akan dibantu oleh Allah.”

Hasil penulisan beliau di bahan cetak dan di laman web.


"
Saya tidak kisah jika ada yang ingin menciplak. Kalau mereka nak 'copy and paste' tanpa dinyatakan nama saya pun tak apa yang penting ilmu itu dapat disebarkan tanpa ditokok tambah nanti timbul pula ajaran songsang,"

Maklumat-maklumat atas talian.

Walaupun kini maklumat boleh diperoleh hanya dihujung jari, namun tidak semuanya betul dan boleh di-terima bulat-bulat. Amalkan sistem menganalisa dan menapis sebelum menerima sesuatu maklumat dari la-man-laman web Islam. Dan sekiranya tidak cukup ilmu untuk mengkaji, jangan terima maklumat itu bulat-bulat. Ini kerana ada sesetengah laman web Islam yang berfahaman syiah yang boleh menyesatkan pembaca.

Sekiranya pengunjung merasa was-was dengan maklumat yang didapati, boleh merujuk kepada laman-laman web Islam yang sememangnya boleh dipercayai seperti laman web
www.saifulislam.com (Hasrizal Abdul Jamil), http://www.drmaza.com (Dr Mohd Asri Zainul Abidin) dan www.zaharuddin.net (Ustaz Hj Zaharuddin Hj Abd Rahman). Dan kebanyakan web site kalau kita perhatikan turut menyediakan link dengan web site lain yang juga berautoriti."

Sumber: http://www.hafizfirdaus.com/ebook/BiodataHF2.pdf

3 comments:

Dan Agam said...

How to send related VCs to Mr Hafiz, please so that he could react to them and make commentary? Thanks

MMR said...

Assalamualaikum wbt

Anonymous said...

Wahabi

Template by - Abdul Munir | Daya Earth Blogger Template